Tuesday, January 31, 2017

SIAPAKAH AL-GHURABA?

Siapakah al-Ghuraba’?
Mohd. Hairi Nochi

Dalam sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Imam Muslim, no. 145, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 
Islam awalnya asing dan kelak akan kembali menjadi asing sebagaimana awalnya maka beruntunglah bagi al-Ghuraba' (orang-orang yang asing).

Hadis di atas menjelaskan kepada kita umat Islam mengenai perkhabaran Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berhubung dengan sifat keasingan agama Islam sejak ia mula-mula didakwahkan oleh baginda shallallahu ‘alaihi wasallam kepada umat manusia. 

Dalam hadis yang sama juga, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam turut mengingatkan bahawa sifat ‘keasingan’ agama ini pasti akan kembali berulang di akhir zaman sebagaimana ketika awalnya ia disampai dan diamalkan oleh baginda dan para sahabatnya radhiallahu‘anhum

Seiring dengan perkhabaran mengenai sifat keasingan ajaran Islam ini, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga menerangkan bahawa di sebalik keasingan itu akan wujud sekelompok manusia dari kalangan umatnya yang digelar sebagai al-Ghuraba' disebabkan kelainan pada manhaj atau cara mereka mengamalkan ajaran agama berbanding kebanyakan manusia lainnya. Terhadap mereka ini dikurniakan nikmat kebahagiaan sebagaimana yang dijanjikan oleh baginda shallallahu ‘alaihi wasallam menerusi hadisnya tersebut. 

Siapakah golongan al-Ghuraba' ini dan apakah ciri-ciri mereka? Bagi menjawab persoalan ini, ikutilah huraian selanjutnya.

¯ Siapakah al-Ghuraba'?
'Abdullah bin 'Amr al-'Ash radhiallahu‘anhu meriwayatkan bahawa pada suatu ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanya mengenai makna al-Ghuraba', baginda shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab dengan sabdanya:[1]
Orang-orang soleh yang berada di tengah banyaknya orang-orang yang buruk, orang yang menderhakai (menentang) mereka lebih banyak daripada mentaati mereka.

Sementara itu, dalam riwayat yang lain Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyebut:[2]
Iaitu orang-orang yang sentiasa memperbaiki (umat) di tengah-tengah rosaknya manusia.

Dalam lafaz yang lain disebutkan:[3]
Iaitu orang-orang yang memperbaiki sunnahku selepas peninggalanku sesudah dirosakkan oleh manusia.

Ringkasnya, sesiapa jua di kalangan umat Islam yang berpegang teguh kepada al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih sebagaimana asalnya, mempertahankan ketulenan ajarannya daripada dicemari oleh pelbagai unsur bid’ah serta berusaha mendakwahkannya kepada umat manusia maka dia termasuk dalam kalangan al-Ghuraba'sepertimana yang dimaksudkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menerusi hadisnya di atas.

¯ Mengapakah dikatakan asing?
Setelah kita mengetahui ciri-ciri umum mereka yang digelar sebagai al-Ghuraba’, maka persoalan kedua menyusul; mengapakah mereka yang berpegang teguh kepada al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ini dianggap sebagai golongan yang ‘asing’? Dalam menjawab persoalan ini, al-Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah (751H) menulis di dalam kitabnya, Madarijus Salikin, jilid. 3, ms. 198-200:[4]

Pahala yang sangat agung ini (iaitu kurniaan 50 pahala para sahabat)[5] adalah kerana dia terasing di tengah kelompok manusia lainnya, juga kerana tegar di atas al-Sunnah Rasulullah di tengah kegelapan hawa nafsu dan fikiran sesat mereka. 

Jika ada seorang mukmin yang telah diberi anugerah oleh Allah untuk dapat memahami agamanya, juga memahami Sunnah Rasul-Nya, mendalami kitab-Nya serta diberi petunjuk tentang hawa nafsu, bid’ah, kesesatan dan berpalingnya orang lain dari jalan lurus yang  pernah dijalani oleh Rasulullah dan para sahabat.

Maka, jika orang seperti ini ingin menempuh jalan ini, hendaklah dia bersiap untuk menjadi tempat celaan dan cemuhan orang-orang bodoh dan Ahl al-Bid’ah, serta akan menjadi bahan olok-olok dan cacian, serta orang-orang akan diperingatkan agar jangan dekat-dekat dengannya sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang kafir terhadap orang-orang yang mengikuti Rasulullah.

Jika ia tetap mengajak mereka untuk menuju kepada al-Sunnah Rasulullah dan mencela perbuatan mereka, maka akan bangkitlah kesumat mereka. Mereka akan mencari orang yang akan mampu membinasakannya, segera memasang jaring perangkap, segera menaiki kuda dan memacunya untuk menghalanginya.

Orang ini (Ahl al-Sunnah), seorang asing dalam agamanya, kerana rosaknya agama mereka, asing dalam tegar di atas sunnah kerana mereka kukuh di atas bid’ah, asing dalam solatnya kerana buruknya solat mereka, asing cara hidupnya kerana sesat dan salahnya cara hidup mereka, asing nisbahnya kerana tidak sama dengan nisbah mereka, asing saat bergaul dengan mereka kerana dia bergaul dengan mereka dengan sesuatu yang tidak mereka gemari.

Perhatikanlah! Dia asing dalam semua urusan dunia dan akhiratnya, tidak ada yang mahu membantu dan menolongnya, seorang ‘alim di tengah komuniti orang-orang bodoh, seorang yang tegar di atas sunnah di tengah-tengah para Ahl al-Bid’ah. Orang yang mengajak kepada agama Allah dan Rasul-Nya di tengah para penyeru kepada hawa nafsu dan bid’ah, orang yang memerintahkan segala yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. 

Berdasarkan kepada keterangan beberapa buah hadis di atas dan huraian al-Imam Ibnu al-Qayyim rahimahullah yang mengikutinya, maka dapatlah disimpulkan bahawa:

Pertama:
Islam dan ajarannya adalah suatu yang bersifat ‘asing’ di sisi kehidupan majoriti umat manusia dan sifat ini sentiasa kekal di sepanjang zaman. Dengan sifat keasingannya ini menjadikan setiap orang yang berpegang teguh kepada ajarannya yang tulen akan menjadi golongan terasing dan tersisih daripada manusia lainnya yang ingkar terhadap ajaran yang dibawa oleh agama Islam. 

Dalam hal ini, ‘Abdullah bin Mas’ud radhiallahu’anhu pernah berkata:[6]
Bagaimana sikapmu apabila kamu telah dilanda oleh suatu fitnah (bid’ah) terus-menerus sehingga orang-orang dewasa mencapai usia tua dan anak kecil mencapai usia dewasa dalam suasana seperti itu dan masyarakat telah menganggap fitnah itu sebagai suatu amalan sunnah sehingga apabila fitnah itu diingkari (ditentang), mereka berkata: Amalan sunnah telah diubah (ditentang). 

Dikatakanlah kepadanya (Abdullah bin Mas’ud radhiallahu’anh): Bilakah yang demikian itu akan berlaku wahai Abu ‘Abdirrahman? Beliau menjawab:  

Bila ahli qira’at (pembaca al-Qur’an) kamu telah banyak, sedangkan ahli fiqih (orang yang faham) dari (kalangan) kamu hanya sedikit, harta kamu telah melimpah dan orang-orang yang memiliki rasa amanah jumlahnya jarang ditemui dan apabila kehidupan dunia dicapai dengan (perantaraan) amalan akhirat.

Penjelasan ‘Abdullah bin Mas’ud radhiallahu’anhu menerusi atsar di atas bahawa sunnah akan mendapat tentangan adalah tidak lain kerana sifat ‘keasingan’ sunnah itu sendiri yang dilihat berbeza dengan kebiasaan atau tradisi beragama kebanyakan umat manusia. 

Justeru, sesiapa sahaja di dunia ini yang berpegang teguh kepada ajaran Islam sebagaimana asalnya pasti akan disisihkan oleh sebahagian besar umat manusia sebagaimana terang Yunus bin Ubaid menerusi kata-katanya berikut:[7]
Seorang yang disampaikan kepadanya al-Sunnah kemudian menerimanya akhirnya menjadi orang yang asing. Namun lebih asing lagi adalah yang menyampaikannya.

Kedua:        
Mereka yang berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih bukan sahaja disisihkan oleh masyarakat dimana mereka berada akan tetapi mereka juga akan sentiasa dihujani dengan pelbagai cacian daripada para penentang al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Walau bagaimanapun, perkara ini bukanlah suatu yang asing dalam lembaran sejarah perjuangan menegakkan sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, malah perkara yang sama juga pernah dialami oleh baginda shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabatnya radhiallahu’anhum.

Syeikh Abu ‘Uthman Ismail bin Abdul ar-Rahman ash-Shabuni rahimahullah menjelaskan kenyataan ini:[8]

Saya katakan bahawa saya telah melihat Ah al-Bid’ah yang menggelari Ahl al-Sunnah dengan gelaran-gelaran (yang negatif) ini, sedangkan Ahl al-Sunnah tidak terdapat pada mereka suatu pun ciri-ciri daripada apa yang mereka gelarkan itu. Ini sebagai kemuliaan dan kurniaan daripada Allah kepada Ahl al-Sunnah. Sebenarnya Ahl al-Bid’ah telah melalui jalan-jalan orang-orang musyrik – semoga Allah melaknat mereka – terhadap apa yang mereka lakukan terhadap Rasulullah.

Sesungguhnya mereka telah menggelari Rasulullah dengan pelbagai gelaran (yang buruk). Sesetengah mereka menamakannya sebagai tukang sihir. Ada pula yang menamakannya sebagai tukang tilik. Sebahagian lainnya pula menamakannya sebagai ahli syair, orang gila, tukang fitnah, pendusta yang suka membuat cerita-cerita dongeng. Sedangkan Nabi berlepas diri dan jauh daripada keaiban-keaiban itu. 

Baginda tidak lain hanya sebagai pesuruh yang dipilih oleh Allah dan sebagai Nabi-Nya. Allah berfirman (dalam surah al-Furqan, ayat 9 yang bermaksud):  Perhatikanlah! Bagaimana mereka membuat perbandingan-perbandingan tentang  kamu, lalu sesatlah mereka. Mereka tidak sanggup (mendapatkan) jalan untuk menentang kerasulanmu.

Sungguhpun demikian, harus diingat bahawa ‘kehinaan’ yang menimpa Ahl al-Sunnah ini hanyalah berdasarkan sudut pandang para penentang al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam itu sendiri, namun di sisi Allah dan Rasul-Nya, mereka tetap dipandang sebagai kaum yang mulia. 

Bagi mereka pahala yang besar dan keredaan Allah ke atas mereka, sebagai balasan di atas keteguhan mereka berpegang kepada al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di zaman yang penuh dengan pencemaran pelbagai fitnah bid’ah dan maksiat ini

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:[9]
Akan selalu ada segolongan dari umatku yang sentiasa taat menjalankan perintah Allah. Tidak akan membahayakan mereka orang yang menghina atau menyelisihi mereka sehingga datang keputusan Allah dan mereka tetap dalam keadaan seperti itu.  

Dalam lafaz yang lain yang diriwayatkan oleh Muslim, no. 1920 disebut:
Ada satu golongan dari umatku yang akan selalu berada di atas kebenaran. Tidak akan membahayakan mereka orang yang menghinakan mereka sehingga datang keputusan Allah sedangkan mereka tetap dalam keadaan seperti itu.

Juga dalam hadisnya yang lain:[10]
Sesungguhnya di belakang kamu ada hari-hari dimana orang yang sabar ketika itu seperti memegang bara api. Mereka yang mengamalkan sunnah pada hari itu akan mendapatkan lima puluh kali dari kamu yang mengamalkan amalan (sunnah) tersebut. Para sahabat bertanya: Mendapatkan lima puluh kali dari kita atau dari mereka? Rasulullah menjawab: Bahkan lima puluh kali pahala kamu.

¯ Asing dan minoriti tidak semestinya sesat.
Kita sering mendengar ungkapan sebahagian orang yang mengatakan bahawa jika sesuatu amalan itu dilakukan oleh golongan yang sedikit (minoriti) dan terasing dalam masyarakat maka ia adalah suatu yang sesat atau salah di sisi ajaran agama. Walau bagaimanapun andaian ini adalah tidak benar. 

Malah ia dilihat bercanggah dengan banyak ayat al-Qur’an yang menegaskan bahawa benar atau tidak sesuatu perkara itu bukanlah diukur dengan jumlah pendukung atau penganutnya, tetapi ialah sejauh mana ia berpijak di atas landasan kebenaran yang berpaksi kepada petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih.
Perhatikan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-An’am, ayat 116 berikut: 

Dan jika engkau mengikuti kebanyakan orang yang berada di muka bumi nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Tiada yang mereka turuti melainkan sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang mulia di atas menunjukkan kepada kita bahawa faktor kuantiti bukanlah garis penentu bagi melayakkan sesuatu itu dianggap sebagai benar di sisi ajaran Islam. 

Berdasarkan kepada prinsip ini, maka para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah mewasiatkan umat Islam agar hendaklah mereka sentiasa berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahihsekali pun ia pada pandangan kebanyakan masyarakat adalah sesuatu yang ganjil lagi terasing. 

 Syeikh Soleh bin Fauzan al-Fauzan menegaskan di dalam kitabnya, Syarh Masa-il Jahiliyah:[11]

Nilai ukur kebenaran itu bukan kerana jumlah pengikut yang besar, tetapi nilai ukurnya adalah kebenaran atau kebatilan yang menyertainya. Setiap yang benar walaupun pengikutnya sedikit, maka harus digenggam kuat. Itulah jalan keselamatan. Semua kebatilan tidak boleh berubah menjadi benar hanya kerana jumlah pengikutnya yang banyak. Nabi bersabda (maksudnya): Sesungguhnya Islam itu muncul sebagai agama yang asing (sedikit pengikutnya) dan suatu ketika akan kembali asing sebagaimana pertama kali muncul

Dalam hal ini, al-Imam al-Hasan al-Basri rahimahullah pernah mengingatkan bahawa:[12]
Sesungguhnya Ahl al-Sunnah mereka adalah manusia yang sedikit jumlahnya pada zaman-zaman yang telah lalu dan mereka juga sedikit jumlahnya pada masa yang akan datang. Mereka ialah orang-orang yang tidak pergi bersama-sama dengan golongan yang mewah dalam kemewahan mereka. Dan tidak pula pergi bersama-sama dengan Ahl al-Bid’ah dalam melakukan bid’ah-bid’ah mereka. Mereka tetap bersabar di atas sunnah mereka sehinggalah mereka menemui Tuhan mereka. maka begitulah keadaan Ahl al-SunnahInsya-Allah. Maka hendaklah kamu seperti mereka. 

Senafas dengan wasiat al-Imam Abu al-Hasan al-Bashri rahimahullah di atas ialah kenyataan Sufyan ats-Tsauri rahimahullah, beliau mewasiatkan:[13]
Aku wasiatkan kamu untuk berpegang teguh kepada Ahl al-Sunnah dengan baik kerana mereka adalah al-Ghuraba’. Alangkah sedikitnya Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah

Semoga dengan wasiat dan peringatan yang disampaikan oleh para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah di atas ini akan menjadikan sumber kekuatan kepada kita semua untuk terus konsisten dalam berpegang teguh kepada ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih. 

Semoga dengan berpegang teguhnya kita kepada kedua-dua petunjuk agung ini akan meletakkan kita dalam golongan al-Ghuraba’ yang pastinya akan mendapat ganjaran berupa nikmat kebahagiaan daripada Allah Subhanahu wa Ta’alaInsya’ Allah.




[1]  Hadis riwayat Ahmad dalam Musnadnya dan disahihkan oleh Syeikh Ahmad Syakir dalam tahqiq Musnad Imam Ahmad, no. 6650.
[2] Lihat Silsilah al-Ahadith al-Shahihah, no. 1273.
[3] Hadis riwayat at-Tirmidzi, no. 2630 dan beliau menjelaskan bahawa hadis ini adalah hasan sahih.
[4] Lihat Tegar di Atas Sunnah Ibarat Menggenggam Bara Api, susunan Tim Media Tarbiyah, ms. 151-153.
[5] Hadis yang menerangkan ganjaran sebanyak 50 kali ganda pahala para sahabat kepada mereka yang berpegang teguh kepada Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ini akan dikemukakan dalam huraian selanjutnya.
[6]  Lihat Riwayat ad-Darimi 1/75, no. 185, Ibnu Abi Syaibah 7/452, no. 37156 dan al-Hakim 4/560, no. 8570.
[7]  Riwayat al-Lalika’i 1/64 dan Ibnu Baththah dalam al-Ibanah 1/185, no. 20. 
[8]  Lihat al-Risalah fii I’tiqad Ahl al-Sunnah wa Ash-haab al-Hadith wa al-Aimmah au Aqidah al-Salaf Ash-haab al-Hadith karya Syeikh Abu ‘Uthman Ismail bin ‘Abdur Rahman al-Shabuni, ms. 142-143
[9]  Hadis riwayat al-Bukhari, no. 3641 dan Muslim, no. 1037.
[10] Hadis riwayat al-Hakim dan lainnya. Beliau menganggap hadis ini sebagai sahih dan disepakati oleh adz-Dzahabi.
[11] Lihat buku penulis, Cukupkah Sekadar Niat?,  ms. 165.
[12] Lihat Membela Sunnah Nabawiyah karya Ustaz Abdul Wahab Bustami, ms. 129.
[13] Riwayat al-Lalika’i dalam Syarh I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah 1/63.